top of page
Snapchat family_edited.jpg

Mereka adalah segalanya buatku.

Merupakan anak terakhir daripada 4 adik beradik, aku dibesarkan secara sederhana walaupun pada hakikatnya aku seorang anak kepada manusia yang berpangkat Datuk. Bukan cerita dongeng tetapi ini adalah realiti yang harus ku hadapi setiap hari. Dilahirkan pada 2 Disember 2001, Kedah Medical Center Alor Setar, aku adalah seorang anak yang periang dan mudah berkawan dengan sesiapa sahaja menyebabkan segelintir orang merasai kurang senang dengan perangaiku. Kedua ibu bapaku memberikan sepenuh kepercayaan mereka kepada anak-anak untuk menentukan hala tujuan masing-masing. Maka disinilah aku berdiri, di Universiti Putra Malaysia (UPM), mengambil jurusan Sastera Bahasa Perancis pada peringkat ijazah. Sedikit berlainan dengan beberapa rakan sekelasku, aku bermula dari peringkat diploma dengan jurusan Seni Pastri di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang.

 

Jauh perjalanan, luas permandangan adalah simpulan bahasa bagi diriku yang sudah tercampak jauh ke Pulau Langkawi sedari umurku 13 tahun. Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi menjadi saksi bisu bagaimana seorang pelajar perempuan berketinggian hanya 140cm hidup berdikari tanpa pantauan langsung dari kedua orang tuanya selama 5 tahun. Ditemukan hanya 3 kali setahun telah memberikan impak yang besar kepada hubungan aku dan kedua orang tua di mana aku lebih selesa bercerita tentang kehidupan bersama kakak-kakak ku berbanding mereka. Jurusan sains, seni dan terus melompat ke bidang bahasa bukanlah perkara yang mudah terutama sekali apabila melibatkan penentuan masa hadapan. 

​

Namun, rezeki Allah SWT itu luas terbentang. Dinobatkan sebagai Graduan Terbaik untuk jurusan Seni Pastri bagi Majlis Graduasi UiTM Yang ke-97 merupakan hasil titik peluh, kerja keras serta doa dan restu ibu bapa adalah puncak kemanisan bagi diriku. Anugerah Naib Canselor dihadiahkan khas untuk keluargaku yang sangat memahami ketika aku mengurungkan diri, berdua-duaan dengan buku ilimiah dan berperang habis-habisan selama hampir 2 tahun pandemik COVID 19.

 

Aku hampir menyerah tetapi aku telah diberikan semangat oleh 2 insan istimewa yang sangat aku sayangi bagi meneruskan pembelajaran sehingga ke tangga kedoktoran falsafah suatu hari nanti. Aku gelarkan mereka sebagai matahari dan bunga matahariku, dimana sang pemberi cahaya yang sentiasa membiaskan binar kearah sang bunga matahari, yang siap sedia menerima nikmat keterangan di siang hari. Kewujudan aku tidaklah penting bagi mereka walau bagaimana pun, mereka tetap menjadi inspirasi utama dalam hidupku. 

bottom of page